Saturday 24 December 2011

Aku ingin sedar dan berubah


Dulu aku tak macam ni. Masih teringat waktu awal aku memasuki sekolah teknik, ia adalah saat yang paling aku suka. Aku banyak belajar tentang agama, tentang kehidupan. Daripada tak tahu apa-apa, aku belajar banyak benda dalam kehidupan. Daripada tak tahu tentang agama, aku banyak belajar halal dan haram, baik dan buruk. Daripada aku tak rajin solat, aku biasakan diri dengan solat wajib dan sunat. Aku rindu saat aku di sekolah berasrama dulu.
Bila dah habis sekolah, aku masuk ke universiti. Aku mula lalai dengan kehidupan dunia. Aku mula berjinak-jinak dengan kehidupan sosial. Aku mula lupa tentang agama, lupa tentang halal dan haram. Faktor memilih kawan juga menjadi salah satu sebab aku hanyut dalam dunia dan lupa bersyukur atas nikmat yang Allah berikan. Tapi aku tak ada masalah dalam berkawan sama ada dia baik ke, jahat ke, cacat ke atau sempurna, aku tak memilih kawan langsung. Janji aku suka ada ramai kawan.
Bila dah mula bekerja, aku makin lalai dan lupa mengerjakan kewajipan. Aku lupa tentang hukum hakam. Tapi alhamdulillah aku tak terlalu terjebak dengan perkara yang menyesatkan lagi hina. Dunia ni memang indah dan ramai manusia suka memilih dunia daripada memilih akhirat. Ia adalah satu lumrah di mana dunia ini penuh dengan keseronokkan namun pada hakikatnya dunia ini sementara dan akhirat adalah kekal selamanya.
Aku ingin sedar. Aku ingin berubah. Ya, berubah kepada yang lebih baik. Aku rindu untuk menjadi seorang yang sentiasa ingat kepada yang maha pencipta. Aku harap niat aku ni Allah permudahkan dan usaha aku untuk menjadi seorang yang lebih baik akan diberkati dan ditolong Allah. Segalanya kena bermula dengan solat. Jika tak lengkap solat seseorang tu, tak teguhlah agama yang ada padanya. Mungkin doa ibu bapaku di Mekah Allah kabulkan. Allah bukakan hati aku untuk berubah.
Kini kehidupan yang berbaki beberapa lama lagi akan aku gunakan sebaiknya. Aku tak mahu lupa kepadaNya lagi. Dia berikan rezeki setiap hari dan aku malu sebab guna rezeki dariNya tanpa sujud dan syukur kepadaNya. Dia berikan aku nafas dan nyawa untuk hidup di dunia menikmati segala yang terbentang dan melampaulah aku jika aku tak ingat langsung padaNya. Aku nak jadi lebih baik dan aku tak nak fikir banyak perkara pasal kehidupan lagi. Biar Allah tentukan dan aku kena usaha juga.
Kehidupan sebagai pelajar sekarang akan aku gunakan sebaiknya. Aku nak tamatkan pembelajaran aku dan bekerja mencari rezeki yang telah ditetapkan Allah untukku. Sebenarnya rezeki ni ada di mana-mana, hanya tinggal kita nak cari saja. Jika dah cari tapi tak jumpa, maka tunggulah sama ada ia cepat atau lambat datang. Jika di dunia tak ada rezeki kita, di akhirat Allah akan bagi. Doa juga penting untuk dapatkan rezeki.
Sahabat aku ada kongsikan satu doa untuk minta dimurahkan rezeki dan aku ingin kongsikan bersama korang semua.
“Ya Allah, sekiranya rezeki kami berada di langit, maka turunkanlah ia, jika ia ada dibumi, keluarkanlah ia dan jika ia ada di dalam lautan, munculkanlah. Sekiranya rezeki kami ada di tempat yang jauh, dekatkanlah ia, jika ia sedikit, banyakkanlah ia dan jika caranya sukar untuk sampai kepada kami, mudahkanlah ia serta pindahkanlah rezeki tersebut kepada kami dengan kemuliaan, kepemurahan dan kebaikanMu. Dengan rahmatMu, wahai Yang Maha Pengasih di antara yang pengasih. Aminnn…”



Mengenai soal kahwin atau jodoh aku serahkan semua kepada Allah kerana Dia telah tetapkan seseorang untuk aku nanti. Aku yakin tulang rusuk kiri aku yang pernah hilang ini akan kembali kepadaku dengan izinNya. Semuanya telah dicatatkan di Luh Mahfuz dan aku hanya perlu redha siapakah wanita yang telah Allah tetapkan untuk aku hidup bersamanya. Jika aku baik, maka baiklah wanita itu dan jika aku jahat maka jahatlah wanita itu. Moga ada lagi nyawa untukku habiskan bersamanya kelak.
Siapa yang tidak mengharapkan wanita yang akan dinikahinya adalah sebaik-baik wanita. Orang jahat pun nak isterinya seorang yang baik akhlaknya, cantik rupanya dan sempurna orangnya. Tapi walau hartanya banyak, keturunannya bagus, wajahnya cantik, ia takkan sama dengan kesempurnaan agama yang dimiliki wanita itu. Maka pilihlah yang beragama, yang faham tentang agama, yang patuh dengan agama.
Life must go on sama ada nak atau tak. Janganlah jadi seorang yang berputus asa. Ini nasihat aku kepada diri sendiri dan semua orang. Janganlah banyak meminta  pada orang lain dan banyakkanlah sedekah. Jika hidup ini adalah satu beban pada seseorang, sesungguhnya Allah sedang mengujinya dan menghapuskan dosanya jika dia sabar dan redha terhadap ujian itu. Aku nak jadi seorang yang kuat dan tabah serta redha dengan ketentuan Allah. Harap ia dipenuhi.
Doa adalah senjata orang Islam yang tak dapat dirampas oleh sesiapa pun, maka banyakkanlah doa mengharap redha dan rahmat dari Allah. Doalah dengan penuh penghayatan perasaan umpama ia adalah hajat terakhir yang akan dimakbulkan Allah. Doalah dengan rasa percaya pada Allah dan doalah dengan penuh rasa keimanan dalam diri. Menangislah sepuasnya dan mengadulah pada Allah, nescaya Allah berikan nikmat ketenangan dalam jiwa.
Moga Allah perkenankan doa aku dan permudahkan niat ini. Amin~
Kepada sesiapa yang telah aku aniaya, yang telah aku sakitkan hatinya, yang telah aku ambil haknya, aku mohon maaf dan ampun atas segala yang terjadi. Harap korang maafkan aku. Jika ada apa-apa yang perlu dituntut, hubungi aku, akan aku berikan tuntutan itu. Aku telah maafkan semua orang semalam. Aku rasa tenang dan gembira.




No comments:

Post a Comment